Selamat Datang ke Laman Blog Unit Biologi, Kolej Matrikulasi Johor, Kementerian Pendidikan Malaysia

Sunday, October 14, 2012

Motivasi Menjelang Peperiksaan



UNIT KAUNSELING DAN KERJAYA
KOLEJ MATRIKULASI JOHOR

MOTIVASI DIRI MENJELANG PEPERIKSAAN
Pembuka Kata
Menjelang peperiksaan, bermacam perasaan akan bermain di dalam diri anda. Kadang-kadang anda rasa berdebar, kadang-kadang pula anda rasa gembira kerana penantian anda selama ini akan berakhir. Walau apa pun yang anda rasakan, anda perlu sentiasa menaikkan tahap motivasi anda untuk menghadapi peperiksaan.
Ada sahabat saya seorang guru yang bergurau dengan saya dengan mengatakan, “Pelajar yang pergi kursus motivasi ni, masa dalam kursus, semangat mereka panas membara. Mereka berkobar-kobar hendak belajar dengan lebih tekun dan mahu mencapai kejayaan yang selama ini nampak mustahil. Pendek kata, memang panaslah….
Ada banyak sebab mengapa ini terjadi. Tetapi satu sebab yang saya nampak dengan jelas ialah, kursus motivasi sebenarnya bukan sahaja cuba menaikkan semangat pelajar ketika kursus dijalankan, ia juga selalunya membekalkan teknik-teknik yang patut diamalkan agar pelajar sentiasa bersemangat untuk berusaha. Teknik-teknik ini selalunya dikenali sebagai teknik untuk memotivasikan diri sendiri.
Mungkin pelajar terlupa akan kepentingan teknik ini. Mungkin juga pelajar gagal mendisiplinkan diri untuk mencuba teknik-teknik tersebut. Apa yang pasti, motivasi bukan sahaja datang daripada luaran tetapi yang lebih penting ialah yang datang dari dalam diri pelajar itu sendiri. Di dalam buku ini saya akan bincangkan 7 teknik untuk memotivasikan diri anda sendiri menjelang peperiksaan.

Teknik 1
Kekalkan Imej Kejayaan  
Teknik utama yang saya ingin kongsikan ialah jika anda mahu mengekalkan semangat yang membara dalam diri anda untuk berjaya, anda mesti mengekalkan imej kejayaan di dalam minda anda. Seperti yang anda tahu, minda anda hanya boleh fokus kepada satu perkara sahaja pada satu masa. (There could be only one dominant thought at one time).
Jadi, apa yang selalu anda kekalkan dalam fikiran anda selepas anda menghadiri kursus atau membaca buku-buku motivasi? Kebanyakan pelajar yang hilang fokus dan semangat menjelang peperiksaan telah hilang fokus kepada imej kejayaan di dalam minda mereka.
Jadi, mulai hari ini, fikirkan, apakah imej kejayaan yang anda ingin isi dalam minda anda? Mungkin anda boleh bayangkan imej kejayaan ketika mengambil keputusan peperiksaan. Mungkin juga anda boleh pergi jauh lagi dengan membayangkan imej kejayaan ketika anda sudah memasuki alam pekerjaan.
Untuk pengetahuan anda juga, imej kejayaan di masa akan datang tidak semestinya menjadi seorang ahli korporat. Anda boleh jadi apa sahaja. Cuma, walau apa-apa pun kerjaya yang anda pilih, pilih untuk jadi professional, maksudnya, jadi yang terbaik.
Jadi, latihan untuk hari ini, fikirkan apa imej yang anda ingin kekalkan di dalam minda anda untuk terus rasa bersemangat. Ingat, jika anda tidak memilih untuk mengisi minda anda dengan imej yang memberikan semangat, ia akan diisi dengan imej yang akan menjatuhkan anda. Selamat mencuba.

Teknik 2
Dekati Sahabat Berfikiran Positif
Mengekalkan imej yang positif atau imej kejayaan selalunya adalah sesuatu yang sukar. Terlalu banyak perkara negatif disekeliling anda yang boleh mempengaruhi apa yang anda fikirkan. Pada pendapat anda, secara umum, minda pelajar lebih mudah diisi dengan unsur-unsur negatif atau positif……..????
Jawapannya tentulah unsur negatif. Ini kerana, anda perlu berusaha secara sedar untuk meletakkan unsur positif dalam minda anda. Jika anda tidak ada usaha untuk itu, secara otomatik, unsur negatif akan memenuhi minda anda. Ada pepatah yang mengatakan bahawa, minda adalah umpama sebuah taman. Jika taman itu tidak ditanam dengan pokok-pokok bunga, lalang dengan sendirinya akan tumbuh.
Begitu juga dengan minda anda. Jika anda tidak berusaha memenuhkan minda anda dengan perkara-perkara yang baik dan positif, ia akan dengan sendirinya dipenuhi dengan perkara-perkara negatif dan tidak baik.
Jadi, tips kedua ini ialah, dalam usaha anda mengekalkan imej kejayaan dan positif dalam minda anda supaya sentiasa bersemangat, anda perlu bergaul dengan pelajar lain yang juga berfikiran positif dan bersemangat untuk berjaya. Ada Hadith Rasulullah S.A.W. yang mengatakan bahawa kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi, badan kita juga akan berbau harum.
Jadi, cari pelajar lain atau kawan anda sendiri yang selalu bersemangat berusaha untuk berjaya. Luangkan masa bersama mereka. Ikut langkah mereka dalam belajar dengan bijak. Berkongsi pendapat dan ilmu bersama mereka tentang cara terbaik untuk mencapai matlamat anda untuk peperiksaan. Insyaallah, anda akan berjaya. Selamat mencuba

Teknik 3
Jauhi Sahabat Berfikiran Negatif  
Sama seperti teknik kedua, jika anda boleh mengekalkan imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, biadap, bising dalam kelas dan tidak mementingkan pelajaran mereka.
Apabila saya katakan menjauhkan diri, ia tidak bermaksud anda memutuskan persahabatan dengan sahabat-sahabat anda ini. Ia bermaksud anda perlu kurangkan masa bergaul dengan mereka dan jauhkan dari mengikuti aktiviti-aktiviti mereka yang membuang masa.
Ada satu pepatah Inggeris yang mengatakan bahawa, “Jika anda mahu terbang bersama helang di langit, anda tidak boleh terus mencakar bersama ayam di tanah”.
Selalunya kawan-kawan yang berfikiran negatif akan melemahkan dan menjatuhkan semangat anda. Contohnya, jika anda ceritakan kepada mereka bahawa anda bercita-cita untuk mendapat 8A dalam peperiksaan, mereka mungkin akan ketawa dan berkata bahawa anda tidak mungkin berjaya sebegitu. Ini pasti melemahkan semangat anda.
Kawan-kawan anda yang berfikiran negatif juga selalunya mudah berputus-asa. Mereka tidak mahu berusaha untuk berjaya kerana ia amat sukar dilakukan. Jadi, mereka mula berputus-asa. Apa yang tidak bagus ialah, mereka juga mungkin akan mempengaruhi anda untuk berputus-asa.
Firman Allah dalam surah Yusuf, ayat 87, “....dan janganlah kamu berputus-asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiadalah yang berputus-asa dari rahmat Allah, melainkan kaum yang kafir.”
Jadi, jauhi kawan-kawan yang bersifat negatif dan mudah berputus-asa. Ingat, saya kata jauhi, bukan putuskan hubungan persahabatan dengan mereka.




UNIT KAUNSELING DAN KERJAYA
KOLEJ MATRIKULASI JOHOR

  “10 TIPS MENJELANG PEPERIKSAAN”
Sepuluh tip untuk membantu anda dalam peperiksaan:
Datanglah dengan cukup bersedia dan lebih awal.
Bawalah semua alat tulis yang anda perlukan, seperti pensel, pen, jam (tangan), pemadam, pembaris, dan lain-lainnya. Kelengkapan ini akan membantu anda untuk memberi sepenuh tumpuan sepanjang masa peperiksaan.
Tenang dan percayakan diri anda.
Ingatkan diri anda bahawa anda sudah siap sedia dan akan menghadapi peperiksaan dengan baik.
Bersantailah tapi berhati-hati.
Pastikan meja dan kerusi anda dalam keadaan baik dan selesa untuk anda menulis. Duduk dalam keadaan menegak.
Prebiu soalan-soalan terlebih dahulu.
Luangkan 10% dari keseluruhan waktu peperiksaan untuk membaca soalan secara mendalam, tanda kata-kata kunci dan tetapkan berapa lama masa yang diperlukan untuk menjawab setiap soalan. Rancangkan untuk menjawab soalan yang mudah dulu, baru soalan yang sukar. Ketika anda membaca soalan, catatkan juga idea-idea yang muncul yang mungkin akan digunakan sebagai jawapan.
Jawab soalan secara strategik.
Mulai dengan menjawab soalan mudah yang anda tahu, kemudian dengan soalan yang mempunyai markah banyak. Soalan terakhir yang seharusnya anda jawab adalah:
  • soalan paling sukar,
  • yang memerlukan masa yang lebih panjang untuk menulis jawapannya,
  • tetapi mempunyai markah sedikit.
Semasa menjawab soalan aneka pilihan, ketahuilah jawapan yang patut dipilih. Mula-mula, abaikan jawaban yang anda tahu salah. Tekalah pilihan jawapan ketika tidak ada pilihan jawapan yang dapat anda abaikan. Jangan mengubah suatu pilihan jawapan jika anda tidak pasti kerana pilihan pertama jawapan anda biasanya betul, jangan menggantinya kecuali anda yakin dengan pembetulan yang anda lakukan.
Semasa menjawab soalan esei, fikirkan dulu jawapannya sebelum menulis. Buat rangka karangan untuk esei dengan mencatat dulu beberapa idea yang akan ditulis. Kemudian susun isi-isi itu mengikut susunan yang mana penting atau perlu dibincangkan dulu.
Semasa menjawab soalan esei, jawab pada persoalannya. Tulis frasa pokok pada frasa pertama. Gunakan perenggan pertama sebagai pengenalan esei anda. Gunakan perenggan seterusnya untuk membincangkan isi-isi utama secara terperinci. Sokong isi anda dengan penerangan yang jelas, contoh, atau petikan dari buku atau media lain jika perlu.
Sisihkan 10% waktu anda untuk memeriksa jawapan. Periksa jawapan; elakkan keinginan untuk cepat meninggalkan dewan atau bilik setelah anda menjawab semua soalan ujian. Pastikan anda telah menjawab semua soalan. Baca sekali lagi jawapan anda untuk memeriksa ejaan, struktur bahasa dan tanda baca. Untuk jawapan matematik, pastikan tidak ada kesilapan (misalnya salah meletakkan tanda titik perpuluhan). Bandingkan jawapan matematik anda yang sebenarnya dengan pengiraan ringkas.
Analisa jawapan anda. Setiap peperiksaan akan membantu anda dalam mempersiapkan diri untuk peperiksaan berikutnya. Tetapkan strategi mana yang sesuai dengan anda. Tentukan strategi mana yang tidak menjadi dan ubahlah. Gunakan kertas peperiksaan sebelumnya ketika belajar untuk peperiksaan akhir.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Followers